Sakinah J. Elwell, adalah seorang pekerja di sebuah ladang jagung milik syarikat KYCornell Corportation, pengeluar hasil jagung terkenal di Eastwood, Kentucky. Sakinah tinggal bersama-sama dengan suaminya Malcolm Mohammed Elwell dan tiga orang anak perempuan mereka yang membuka sebuah bakeri di Woodland Hills, 11 km dari Pekan Eastwood.
Keluarga Sakinah sama seperti kebanyakan keluarga lain di Eastwood. Hanya kini kehidupan mereka lebih sejahtera selepas Sakinah dan keluarganya memeluk Islam sejak beberapa tahun yang lepas. Semuanya bermula selepas pertemuan suami Sakinah, Malcolm dengan seorang pelanggan beragama Islam yang kemudiannya menjadi rakan baiknya. Pelanggan tersebut, Mary Stephenson dari Boston, pernah menceritakan tentang Islam kepada Malcolm. Pendedahan tehadap agama baru itu mengubah persepsi Malcolm yang sebelum ini seperti kebanyakan rakyat Amerika yang lain, hanya menganggap Islam sebagai agama orang Arab dan gasar, pagan dan tidak bertamadun.
Selepas beberapa lama, Malcolm akhirnya nekad untuk memeluk agama Islam. Peristiwa bersejarah itu berlaku di Islamic School of Louisville. Langkah ini kemudiannya diikuti oleh Sakinah dan anak-anak perempuan mereka, Amanda, Alicia dan Patiricia. Sakinah dan Malcolm kemudiannya menukar nama asal mereka, Malcolm dan Jennifer Elwell kepada Malcolm Mohammed dan Sakinah J. Elwell.
Menjadi seorang Muslim di kawasan lingkaran segi tiga konservatif Amerika Syarikat tidak semudah seperti di negara-negara majoriti Islam seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia atau sekurang-kurangnya di kawasan yang lebih toleran seperti di kota London. Sakinah dan keluarganya ditanggapi sebagai pengganas dan musuh negara oleh jiran-jirannya. Sesetengah pekedai di Eastwood enggan berurusniaga dengan keluarga ini menyebabkan Sakinah terpaksa memandu beberapa kilometer dari kejiranan mereka ke minimart milik seorang Yahudi beragama Mormon yang lebih terbuka dan menghormati perbezaan kepercayaan di antara mereka.
Tiga orang anak perempuan Sakinah sering didiskriminasikan walaupun ketika berada di sekolah. Anak keduanya, Alicia pernah digantung persekolahan kerana didakwa bergaduh dengan tujuh rakan sekelasnya akibat perselisihan agama sehingga Alicia terpaksa dimasukkan ke dalam hospital kerana patah tulang. Ironinya hanya Alicia yang menerima hukuman berat, manakala teman-teman lainnya hanya dikenakan tahanan kelas. Peristiwa ini berlaku dua tahun lepas ketika keluarga Elwell baru memeluk Islam dan Alicia mula berjinak memakai tudung ke sekolah.
Tetapi kemuncak pendiskriminisasian terhadap Sakinah dan keluarganya bukan di dalam peristiwa tersebut. Ia berlaku di ladang KYCornell Corporation di mana Sakinah bekerja. Pada suatu musim menuai di pertengahan tahun 2010, Sakinah telah diarahkan oleh majikannya untuk membawakan air untuk rakan-rakan sekerjanya. Namun apabila minuman tersebut dibawa kepada mereka, rakan-rakan sekerjanya menolak untuk meminum dengan alasan ia dibawa oleh seorang ahli neraka. Beberapa orang pekerja wanita kemudiannya berkonfrontasi dengan Sakinah dan memaksanya kembali kepada agama Kristian. Dalam perbalahan itu, pekerja-pekerja ladang tersebut telah menghina Islam dan Nabi Muhammad menyebabkan Sakinah berang dan kemudiannya membalas dengan mempersoalkan ketuhanan Jesus. Ini mengakibatkan kemarahan mereka dan seterusnya bertindak memukul Sakinah beramai-ramai.
Insiden itu kemudiannya dileraikan oleh sepasukan Polis Kentucky. Sakinah kemudiannya ditahan dan selepas interogasi, pihak berkuasa di negeri Kentucky telah mendakwa Sakinah di atas tuduhan menghina agama Kristian, satu kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman mati di kerusi Elektrik mengikut undang-undang negeri Kentucky. Sakinah akhirnya menjadi mangsa ketidakadilan, hanya kerana agama pilihan beliau berbeza dengan agama anutan orang lain di kejiranannya.
Tammat.
Okay, sebenarnya cerita di atas cuma tipu dan rekasaya yang aku buat. Terima kasih sebab membaca. Kesian kan watak dalam cerita ni, rasa bengang betul bila terpaksa hidup dalam ketidakadilan semata-mata kerana mempunyai pilihan dan pendapat yang berbeza dengan orang lain. Ingat kisah Marwa el-Sharbini tahun lepas yang mati ditikam 18 kali oleh penyerangnya dalam mahkamah di German disebabkan fenomena yang dipanggil sebagai Islamophobia. Watak Sakinah dan semua nama-nama lain dalam cerita ni memang tak wujud. Tapi kisahnya wujud. Ia kisah seorang gadis bernama Asia Bibi dengan latar belakang berbeza. Asia Bibi terpaksa hidup dalam ketidakadilan yang sama dengan apa yang dilalui oleh watak Sakinah dalam cerita ini. Hanya realitinya Asia Bibi bukan seorang Islam di negara sekular Amerika Syarikat.
Dia adalah seorang Kristian di negara Islam Pakistan.
sekian..
Panglima Muda Ahmad Chin @ AnakMudaDiary
Wassalam
No comments:
Post a Comment